Apa itu Asid Refluks GERD? Apa kata kita fahami terlebih dahulu keadaan kesihatan ini sebelum mengetahui pilihan ubat GERD paling mujarab yang ada untuk anda, okay?
Penyakit gastroesophageal refluks (GERD) berlaku apabila asid perut kerap mengalir kembali (refluks) ke dalam tiub yang menghubungkan mulut dan perut – esofagus dan menyebabkan iritasi.
Bagi asid refluks ringan, ia boleh berlaku sekurang-kurangnya 2 kali seminggu. Manakala bagi tahap sederhana hingga teruk, ia boleh terjadi sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Simptom Asid Refluks GERD
Tanda dan gejala GERD yang biasa adalah:
- Sensasi terbakar di dada (pedih ulu hati), biasanya selepas makan dan boleh bertambah teruk pada waktu malam
- Sakit dada
- Kesukaran menelan
- Regurgitasi/muntah makanan atau cecair masam
- Sensasi benjolan di kerongkong
Jika asid refluks turut dialami pada waktu malam, gejalanya mungkin:
- Batuk kronik
- Laringitis
- Asma baharu atau semakin teruk
- Tidur terganggu
Keadaan yang boleh meningkatkan risiko GERD adalah:
- Obesiti
- Hernia hiatal
- Kehamilan
- Gangguan tisu penghubung
- Proses pengosongan perut lambat
Masalah asid refluks akan bertambah buruk disebabkan oleh:
- Tabiat merokok
- Makan lewat atau makan banyak
- Makanan tertentu seperti makanan bergoreng
- Minuman tertentu seperti alkohol atau kopi
- Ubatan tertentu seperti aspirin
Ubat GERD yang paling berkesan
Kita sudah memahami secara ringkas apa itu GERD, kini tiba masanya untuk mengetahui kaedah yang boleh dilakukan bagi merawat keadaan ini.
Terdapat 4 pendekatan untuk merawat GERD:
- Perubahan gaya hidup dan diet
- Ubatan
- Terapi endoskopi
- Pembedahan
Perubahan gaya hidup & pemakanan
Perubahan pada diet dan amalan gaya hidup adalah langkah pertama dalam merawat GERD. Antara perkara yang disarankan bagi mengurangkan gejala adalah:
- Kurangkan berat badan jika berlebihan, ini merupakan kaedah paling berkesan untuk mengurangkan gejala asid refluks
- Elakkan makanan yang boleh meningkatkan kadar asid perut seperti minuman berkafein
- Hindari makanan yang boleh mengurangkan tekanan esofagus bawah seperti makanan berlemak, alkohol
- Elakkan makanan yang menjejaskan peristalsis- pergerakan otot saluran pencernaan, seperti kopi, cecair berasid dan alkohol
- Hindari makanan yang melambatkan pengosongan gastrik seperti makanan berlemak
- Elakkan mengambil makanan dalam porsi besar
- Berhenti merokok. Merokok mengurangkan keupayaan sfingter esofagus bawah untuk berfungsi dengan baik
- Jangan berbaring selepas makan, tunggu sekurang-kurangnya 3 jam sebelum berbaring atau tidur
- Tinggikan aras kepala ketika berbaring. Lakukan dengan meninggikan kaki katil bahagian kepala dengan blok kayu atau simen. Penggunaan bantal untuk menambah ketinggian aras kepala biasanya tidak berkesan